Make your own free website on Tripod.com

TAJUK :: DIA ADIKKU
KATEGORI :: CERPEN

"Iqmal, jangan lari! Nanti jatuh," jerit Nadia pada Iqmal. Adiknya yang nakal itu. Iqmal masih berlari lincah mengejar sang arnab putih kesayangannya.

"Iqmal papa balik," Nadia memanggil Iqmal. Anak kecil itu berlari-lari mendapatkan papanya.

"Nadia," satu sentuhan lembut singgah di bahunya. Pantas Nadia mengesat genangan air di bibir matanya. Wajah mamanya ditatap dengan senyuman hambar. Datin Sofea segera mengesat genangan itu daripada gugur. Sambil melabuhkan punggung kekerusi di sisi Nadia, matanya melihat Mercedes hitam berkilat menjalar masuk.
"Kesat matamu sayang. Papa dah balik. Senyum sayang," Datin Sofea tersenyum pada puteri tunggalnya.

Dato Taufiq melabuhkan duduknya di sisi Nadia sambil membuka ikatan tali lehernya. Nadia merenung papanya dan tatkala itu butir-butir jernih gugur lagi. Biasanya kepulangan papa dari pejabat pasti disambut riuh oleh Iqmal. Malah kedangkala papa tidak sempat untuk membuka ikatan tali lehernya, Iqmal pasti akan sibuk berceloteh. Tapi kali ini segalanya sunyi dan sepi.

Dato Taufiq memandang tepat ke arah Nadia.Wajah bujur sireh itu mengundang pilu di hatinya. Ingatannya terhadap Iqmal menerjah semula ke benaknya. Lama dia terkedu namun akal warasnya memujuknya untuk menerima hakikat bahawa putera tunggalnya itu sudah pergi buat selama-lamanya.

Hari berlalu dan terus berputar melaksanakan sumpah masa.hari-hari yang berlalu menjadi kenangan yang amat bererti dan hari yang mendatang menjadi harapan dan impian. Nadia melemparkan pandangannya ke luar. Merenung hamparan rumput yang menghijau mencari ketenangan dan kedamaian. Matanya tertancap pada sang arnab putih yang kaku di sudut pagar. Seakan menanti tuannya untuk bermain riang. Di satu sudut lain basikal merah milik Iqmal tersandar sepi seakan merintih minta untuk berkhidmat dan bola biru di sudut pintu semakin suram tanpa disentuh. Mutiara itu gugur lagi tanpa dapat ditahan. Nadia sengaja membiarkannya sekadar untuk melepaskan kerinduannya terhadap adik bongsunya itu. Memori bersama Iqmal kembali bermain-main di benaknya.

Dato Taufiq yang baru pulang dari pejabat lantas masuk ke dalam rumah. Kesedihan Nadia mengundang pilu di hatinya. Naluri lelakinya dan perasaan seorang bapa terusik.P antas langkahnya di hayun ke kamar bacaannya. Datin Sofea memandang simpati ke arah suaminya. Keriangan suaminya telah diheret oleh Iqmal malah suaminya kini berubah menjadi pendiam. Datin Sofea melangkah keluar.

"Nadia boleh kita berbual," Datin Sofea merapati anak gadisnya.Nadia mengesat matanya. "Nadia tentu sedar papa dah banyak berubah kan. Papa tak seceria dan seriang dahulu. Malah keriangan rumah ini turut lenyap," Datin Sofea menyusun kata-kata.

"Nadia tahu tak, setelah Iqmal pergi akibat Leukimia, papa menumpahkan sepenuh harapannya pada Nadia sebagai satu-satunya zuriat papa dan mama. Malah sebenarnya hanya Nadia yang dapat mengubat segala duka dan kesedihan papa dan mama. Kalau Nadia terus begini suasana rumah kita akan terus suram. Kesedihan Nadia sebenarnya menambah luka papa sayang," Datin Sofea menghela nafas panjang. Kata-kata yang terbuku di hatinya telah terluah.Nadia bagaikan baru tersedar dari mimpi yang panjang. Tersedar dari lamunan yang panjang. Lantas dia memeluk mamanya.

"Mama, maafkan Nadia," pelukan itu kian erat dan Datin Sofea membalas erat. Hatinya lega kerana Nadia telah sedar dan menyedari hakikat yang sebenar.

"Pergi jumpa papa," Ujar Datin Sofea perlahan. Nadia pantas mencari papanya. Nadia menolak pintu kamar bacaan yang sedikit terkuak. Dato Taufiq sedang termenung panjang.

"Papa," Nadia memeluk papanya. "Maafkan Nadia papa.Selama ini Nadia telah berdosa kerana menambah luka papa," Nadia tidak mampu lagi untuk berkata-kata. Papanya dipeluk erat.

"Nadia satu-satunya anak papa dan Nadialah yang akan menyerikan hidup papa dan mama. Nadia satu-satunya harapan mama dan papa. Kesat matamu sayang, kita bina hiup baru. Biarlah kenangan bersama Iqmal kita simpan sebagai satu mimpi yang indah," Dato Taufiq berbisik perlahan kepada puterinya.


'Iqmal sayang, walau masa terus berlalu, walau putaran waktu menepati sumpahnya namun kasih dan sayang kakak padamu tetap abadi. Kenangan bersamamu adalah memori termahal dalam sejarah hidup kakak. Al-fatihah buat adikku Muhammad Iqmal Hakim b.Mohd Taufiq............

BACK | LAMAN UTAMA